Soalan: Ustaz, apa hukum kita terhadap pemimpin yang fasiq?
Perlu taat ke? Atau boleh je kita jatuhkan dia?
Jawapan:
Secara umum, hukum asal hubungan dalam sebuah negara Islam antara rakyat (mereka yang dipimpin) dan juga ketua negara (pemimpin) adalah taat.
Ini berdasarkan banyak sumber nas dan antara yang masyhur adalah berdasarkan firman Allah swt:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu.” (Surah An-Nisa’ : 59)
Jelas dalam ayat ini hubungan ketaatan itu secara asalnya itu wujud antara pemimpin dan rakyat.
Namun, dalam hal apabila pemimpin itu seorang yang fasiq atau zalim, kebanyakkan ulama telah membicarakan hal ini dalam tiga keadaan.
1) Hubungan antara rakyat dan pemimpin fasiq
Jumhur fuqaha’ berpandangan dalam situasi ini, ianya tetap tidak merubah hukum asal akan hubungan antara rakyat dan pemimpin iaitulah perlu ditaati walaupun pemimpin tersebut adalah seorang yang zalim atau fasiq. Antara dalil yang banyak disandarkan adalah hadis Rasulullah saw:
Seorang Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w:Ya Nabi Allah, bagaimana menurutmu jika para pemerintah yang memimpin kami yang selalu mengutamakan hak mereka tetapi mereka tidak bersedia memenuhi hak kami?
Nabi menjawab: “Tunduk dan patuhlah kamu, sesungguhnya mereka akan bertanggungjawab atas kepimpinanya,manakala kamu juga akan bertanggung jawab terhadap ketaatan kamu kepadanya”.(HR.Muslim no.1846)
“Sesiapa yang dipimpin oleh seseorang pemimpin lalu dia melihat pemimpinnya berbuat maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci perbuatannya, namun jangan dia melepaskan ketaatan daripadanya”.(HR.Muslim no.1855)
Maka kefasikan dan kezaliman yang wujud pada pemimpin tersebut tidak pernah menghilangkan akan hak ditaati yang pada asalnya sememangnya wujud pada pemimpin tersebut.
2) Apabila disuruh melakukan kezaliman.
Tetapi ketaatan pemimpin tersebut bukanlah suatu yang mutlak seperti mana pada seorang pemimpin yang adil.
Ketaatan terhadap pemimpin yang fasiq adalah selagi mana ianya tidak berkait dengan arahan yang membabitkan maksiat atau melanggar arahan Allah swt.
Tidak ada ketaatan pada perkara maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perbuatan yang baik”. (HR.Muslim:1840,Bukhari:7145)
“Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas”.(Asy-Syu’ara:151)
Nas-nas ini memberi gambaran bagaimana ketaatan terhadap makhluk itu mempunyai pengecualian iaitu apabila membabitkan arahan terhadap perkara yang mungkar atau maksiat. Termasuk dalam isu ini hal berkenaan pemimpin yang fasiq.
3) Limitasi kefasiqan dan kezaliman pemimpin
Ulama juga menggariskan kefasikan dan juga kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tersebut juga ada limitasinya, bukanlah walau sezalim dan sefasiq mana pun dia kita perlu taat.
Adanya keadaan atau situasi dimana akan terungkai ikatan ketaatan tersebut lalu menjadi kewajipan umat Islam untuk keluar dan menjatuhkan pemimpin tersebut. Keadaan ini ialah apa yang diistilahkan oleh Baginda saw sebagai “Kapir (engkar) buwah” (الكفرالبواح)
Ubadah Ibn Shamit r.a berkata: Kami membai’at Rasulullah s.a.w dengan janji akan mendengar perintahnya, mentaatinya baik dalam keadaan susah mahupun senang, baik sulit mahupun lapang dan dalam keadaan dia lebih mengutamakan orang lain daripada kami dan kami tidak melawan orang-orang yang memegang kekuasaan, kecuali (beliau menjelaskan) jika kamu melihat bukti “kafir buwah” terhadap mereka. Terhadap orang seperti itu disisi kamu ada keterangan yang cukup daripada Allah”. (HR.Mutaffaq ‘alaih,al-Muntaqa 2/739)
Ibnu Hajar menterjemahkan istilah “kafir buwah” sebagai suatu kekafiran yang ditunjukkan secara jelas seperti melarang manusia untuk beribadah, menolak sumber pensyaraiatan al-Quran dan as-Sunnah atau sehingga melakukan kezaliman besar terhadap umat Islam secara jelas seperti pembunuhan besar-besaran terhadap orang Islam.
Apabila situasi ini berlaku, jumhur fuqaha’ seperti Hasan al-Basri, Imam Ahmad bin Hanbal, al-Nawawi serta termasuk dikalangan sahabat-sahabat yang muktabar menetapkan pemimpin tersebut hendaklah dijatuhkan oleh umat Islam.
Apa yang boleh kita simpulkan dalam persoalan ini adalah:
1. Mentaati pemimpin itu adalah perkara yang jelas dalam Syariat Islam. Kefasikan dan kezaliman seorang pemimpin itu tidak menghilangkan akan hak ditaati oleh rakyatnya selagi mana ianya tidak berkait arahan yang bertentangan dengan suruhan agama dan kezaliman itu tidak sehingga mencapai tahap “kafir buwah”.
2. Taat kepada pemimpin fasiq bukanlah bermaksud tunduk dan senyap terhadap kezaliman yang dilakukan, teguran dan juga nasihat amar makruf nahi mungkar hendaklah berterusan cumanya tidaklah sehingga kepada menjatuhkan pemimpin dengan pemberontakan lalu memberi mudharat besar kepada umat Islam.
3. Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ menyebut bahawa larangan supaya tidak menjatuhkan pemimpin fasiq bukanlah bererti mengiktiraf kefasiqan mereka, tetapi ianya adalah untuk menolak fitnah yang lebih besar yang bakal terjadi terhadap umat Islam. Begitu juga kebolehan menjatuhkan pemimpin fasiq hingga kepada tahap “kafir bulwah” adalah kerana tindakan itu telah memberi fitnah tersangat besar kepada umat. Bermaksud apa yang menjadi nialaian utama oleh ulama dalam mana-mana isu adalah kepentingan umat.
لا يجوز إنكار المنكر بمنكر أكبر منه
Tidak boleh menolak sesuatu kemungkaran dengan melakukan kemungkaran yang leibh besar daripada itu (mungkar yang ingin dicegah)
///
Ab Sheikh Yunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan