Sanggahan Terhadap Dr Asri dan Kelompok Wahabi
Tulisan dan ceramah saudara mengenai Ilmu Kalam, sifat 20 dan anjuran untuk tidak terikat dengan mazhab adalah dirujuk.
Penting
untuk kita ketahui bahawa Asha’irah melalui ilmu Kalam telah banyak
berjasa menangkis dan meranapkan hujah-hujah Mu’tazilah, Syi’ah dan
kelompok sesat yang lain. Ini kerana hanya golongan
Asha’irah-Maturidiyyah yang mempunyai alat untuk melawan hujah dengan hujah secara intelektual sesuatu yang tidak dimiliki oleh ulama’ Ahli Hadith.
Selain
daripada itu ilmu usul al-fiqh telah banyak mengambil manfaat daripada
ilmu Kalam. Kitab al-Burhan oleh Imam al-Juwayni dan kitab al-Mustasfa
oleh Imam al-Ghazali menurut Ibn Khaldun adalah dua kitab yang paling
berpengaruh dalam ilmu Usul al-fiqh dalam dunia Islam dan keduanya
menggunakan ilmu Kalam.
Kitab
al-Mustasfa bukan sahaja menjadi rujukan mazhab al-Shafi’i tetapi juga
diterima pakai oleh mazhab empat yang lain. Sehingga ulama’- ulama’ yang
bermazhab Maliki di Tunis, Maghribi, di Barat dunia Islam turut
mensyarahkannya. Kerana itu dapat disimpulkan bahawa tindakan
memperkecilkan dan mengkeji ilmu Kalam adalah tindakan mundur ke
belakang bahkan dapat merosakkan asas-asas peradaban Islam.
Cerita
seorang tua yang keliru mengenai pengajian sifat 20 yang telah berzaman
diamalkan di alam Melayu adalah cerita yang keterlaluan, ia mungkin
diada-adakan atau ditokok tambah. Jika adapun kaedah pengajaran sifat 20
seperti itu ia adalah kes terpencil yang ekstrem yang bukan sebenarnya
dan tidak patut menjadi ukuran.
Tidak
sewajarnya kita menolak pengajian sifat 20 hanya kerana ada seorang
makcik yang tidak dapat memahaminya. Sedangkan sifat 20 ini telah
membantu ramai orang untuk mengenal Allah dan membentengi umat Islam
daripada syirik dan mengukuhkan Aqidah mereka.
Pengajian
sifat Allah, tanpa melihat kepada angkanya, adalah perkara yang telah
disepakati oleh ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan bahkan di
kalangan ulama’ Salafi sendiri sebagaimana terakam dalam Kitab Aqidah
al-Tahawiyyah.
Apabila
saudara mengatakan bahawa segala yang baik adalah sifat Allah, tampak
di sini tiada sandaran yang saudara gunakan melainkan akal. Sedangkan
Asha’irah-Maturidiyyah apabila mengemukakan sifat 20 mereka memberikan
setiap satunya sandaran daripada ayat-ayat al-Qur’an dan al-Sunnah.
Sifat 20 disarikan daripada kenyataan al-Qur’an bukan akal manusia.
Jadi
di mana letaknya dakwaan bahawa saudara hanya mengikuti al-Qur’an dan
al-Sunnah. Oleh kerana itu tindakan saudara memperlekeh pengajian sifat
20 suatu tindakan yang melampau dan tidak sepatutnya berlaku jika
saudara faham pentingnya menjaga perpaduan umat Islam.
Gerakan
Wahabi, atau lebih tepat lagi Pseudo-Salafi, adalah satu fenomena baru
yang telah memporakperandakan saf umat Islam. Ia bukan satu mazhab fiqh
dan bukan juga satu gerakan atau aliran pemikiran yang tersusun. Ia
lebih mirip kepada Khawarij di masa lalu yang biadab dan menentang
autoriti Sahabat. Perlu dibezakan antara Wahabi dengan Salafi.
Jika
Salafi mengikuti Athariyyah yang merupakan sebahagian daripada ASWJ dan
berpegang kepada Aqidah al-Tahawiyyah, Wahabi hanya menisbahkan diri
mereka kepada Salafi tetapi tidak mempunyai ilmu dan sifat yang dimiliki
oleh Salafi sebenar. Kebanyakan pemimpin gerakan ini terdiri daripada
pakar dalam satu bidang ilmu kecil iaitu ilmu hadith, ilmu yang juz’i,
kerana itu pandangan mereka sempit. Sedangkan para ulama’ ASWJ selain
menguasai ilmu-ilmu juz’i tertentu mereka juga menguasai ilmu kulli,
seperti ilmu Kalam dan ilmu usul al-fiqh, kerana itu wawasan dan
pandangan mereka lebih luas.
Antara
ciri penting Wahabi adalah menolak mazhab. Taqlid dengan mazhab
tertentu dianggap sebagai taassub. Sedangkan ulama’-ulama’ ASWJ sepakat
bahawa keempat-empat mazhab ini adalah sah dan orang awam dianjurkan
untuk bertaqlid kepada salah satu mazhab itu kerana ia lebih selamat
bagi mereka (sila rujuk kata-kata Shah Waliyyullah al-Dahlawi dalam
Hujjatullah al-Balighah tentang keharusan bertaqlid dengan mazhab).
Justeru 4 mazhab inilah yang membentuk ASWJ.
Menolak
mazhab bermakna menolak imam-imam yang empat, Imam Malik, Abu Hanifah,
al-Shafi’i dan Ahmad b. Hanbal, walaupun dengan alasan terus merujuk
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah namun pada hakikatnya mereka menolak
autoriti ulama’ dan meletakkan diri mereka sebagai mujtahid yang
setanding dengan imam-imam mazhab tersebut padahal mereka tiada
kelayakan ilmiah dan keupayaan intelektual yang mencukupi.
Imam-imam
ASWJ daripada 8 kelompok yang disebutkan oleh Abd al-Qahir al-Baghdadi
adalah autoriti ilmu yang mesti dirujuk oleh umat Islam. Golongan yang
tidak menghormati autoriti ilmu ini umpama isteri Aladin yang tertipu
dengan kilauan lampu baharu lalu bertindak menukarkan lampu lama yang
amat berharga dan tiada duanya. Yang lama tidak semestinya perlu
ditukar, yang baru tidak semestinya lebih baik.
Yang
penting adalah kita tahu menghargai tradisi yang kita miliki dan tidak
terikut-ikut masuk lobang biawak modenisasi dan liberalisasi.
Kedua,
kelompok Wahabi juga suka mempersoalkan amalan-amalan umat Islam dan
membid’ahkannya semata-mata kerana dalil-dalil yang digunakan adalah
lemah di sisi mereka. Mereka mempertikaikan amalan mawlid, tahlil, zikir
berjamaah, melafazkan niat, mempelajari ilmu Kalam, ilmu Tasawwuf, dan
menganggapnya bid’ah dolalah.
Persoalan-persoalan
yang sebenarnya telah selesai dibincangkan oleh para ulama’ dan
terpulang kepada masing-masing pihak untuk menerima pandangan mana yang
difikirnya lebih mendekati kebenaran tanpa mencerca pandangan yang lain.
Meskipun ilmu Tasawwuf dan ilmu Kalam tidak ada di zaman Rasulullah
saw dan para Sahabat tetapi tidak bermakna kewujudannya dan
perkembangannya bercanggah dengan ajaran Islam. Sesungguhnya Islam tidak
menghalang perkembangan ilmu. Ketiadaan ilmu-ilmu ini di zaman
Rasulullah dan Sahabat kerana di zaman mereka tidak ada keperluan.
Perkembangan
zaman yang mencabar dan kemunculan aliran-aliran yang sesat dan
kerosakan pada kefahaman dan amalan keagamaan telah mendorong para
ulama’ membangunkan ilmu ini berdasarkan asas-asas yang telah dibina
oleh Rasulullah dan Sahabat baginda. Pendekatan golongan Wahabi dalam
usaha kononnya untuk memurnikan agama Islam secara melampau telah
menjadi pemicu kepada sikap ekstrem dan radikal sebahagian kelompok yang
terlalu bersemangat tetapi miskin ilmu dan pengalaman.
Kedua-dua
kecenderungan di atas sering terlihat pada tulisan dan ceramah saudara
dan telah pun mendatangkan kegelisahan awam dan pertelingkahan yang
merugikan. Saya melihatnya sebagai pengaruh wacana keagamaan di Timur
Tengah yang cuba dibawa ke alam Melayu yang sebenarnya lebih damai dan
santun dalam menanggapi perbezaan.
Kerana
itu saya merayu dan menyeru kepada kelompok Salafi yang ekstrem agar
kembali ke pangkuan ASWJ. Berhentilah menyakiti sesama Islam dan
mengelirukan umat Islam yang awam dengan persoalan yang remeh.
Bersama-samalah kita berganding bahu menumpukan pada agenda umat yang
lebih penting demi masa depan yang lebih baik.
ASWJ
bukan satu kelompok kecil yang menghadkan kebenaran pada kelompoknya
sahaja dan menolak yang tidak sealiran sebagai sesat hanya semata-mata
kerana perbezaan pendapat. Ia adalah jumhur umat Islam yang termasuk
dalam golongan al-firqah al-najiah (golongan yang selamat),
kerana berpegang teguh kepada Sunnah Rasulullah dan sunnah para Sahabat
baginda dengan menolak penyelewengan ahl al-bid’ah seperti Mu’tazilah,
Syi’ah, Khawarij, Falasifah, dan lain-lain.
Perbezaan
ASWJ dengan kelompok yang lain adalah perbezaan dalam hal usul bukan
hal furu’. Sebaliknya dalam hal furu’, ijtihadiyyah, mereka saling
berlapang dada dan bersangka baik. Hanya dalam perkara yang secara qat’i
bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah kita tidak boleh bertolak
ansur.
Adapun dalam masalah khilafiyyah maka kaedah yang digunapakai oleh ulama adalah “al-khuruj min al-khilaf mustahab”, atau awla,
(keluar daripada khilaf adalah digalakkan) bahkan wajib menurut
sebahagian ulama (lihat al-Ashbah wa al-Naza’ir oleh al-Subki). Kerana
itu kami tidak memaksa golongan Salafi menerima sifat 20, kerana
keislaman seseorang tidak tertakluk pada penerimaan sifat 20, tetapi
sekurang-kurangnya demi maslahat ummah hormatilah pendekatan para ulama’
ASWJ itu kerana ia berasaskan kepada al-Qur’an dan hadith sebagaimana
anda mendakwa pendekatan Salafi juga bersumberkan al-Qur’an dan Hadith.
Awal
kurun ke-20 kita telahpun menghadapi masalah pertikaian antara kaum
muda dengan kaum tua. Pertikaian ini telah reda apabila
pemimpin-pemimpin kedua belah pihak memilih jalan damai dengan tidak
lagi membicarakan hal-hal yang telah dipertelingkahkan. Bahkan di
saat-saat tua Hamka yang merupakan pemimpin Muhammadiah dan kaum muda
semakin menghargai dan menghormati kaum tua dan amalan Tasawwuf mereka.
Amatlah
rugi jika umat Islam kembali disibukkan dengan pertikaian yang
merugikan dalam persoalan remeh temeh sedangkan banyak lagi agenda besar
umat Islam terabaikan. Berhentilah meniupkan semangat kaum muda untuk
menolak dan membenci kaum tua, ia tidak akan memberi apa-apa manfaat. Ia
bukan semangat tajdid yang diinginkan oleh Islam tetapi malah boleh
menjadi sumber mala petaka bagi umat Islam.
Islam
mengajarkan kita untuk mengambil sikap bersederhana, dan tidak melampau
dalam beragama. Dalam Islam autoriti ilmu adalah penting tanpanya Islam
akan mudah mengalami kerosakan dan penyelewengan.
Islam
juga menyuruh kita untuk menyantuni masyarakat dan mengasihi mereka
bukan membebankan mereka dengan persoalan khilafiyyah. Di sinilah
pentingnya sikap saling menghormati dan berlapang dada sesama Islam demi
menjaga persaudaraan Islam.
///
Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris
Pensyarah CASIS UTM Kuala Lumpur
Pensyarah CASIS UTM Kuala Lumpur